Wednesday 13 April 2011

Huraikan secara menyeluruh kesan-kesan kebangkitan nasionalisme dan anti kolonialisme di Asia Tenggara sekitar 1940-1950.

1.0     PENGENALAN
Kolonialisme merujuk kepada dasar melalui kegiatan imperialisme. Maka, pengertian kolonialisme adalah merujuk kepada kefahaman kepada masalah penindasan, penghinaan atau eksploitasi yang dilakukan oleh kuasa-kuasa imperialis Barat dan Asia terhadap penduduk peribumi. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa imperialisme dan kolonialisme merupakan dua perkataan yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang sangat besar dalam sejarah dunia. Walaupun imperialisme dan kolonialisme memberi makna yang positif kepada patriotism Barat, tetapi semua pihak khususnya kepada warga dunia ketiga, ianya membawa pengertian negatif. Penindasan atau eksploitasi merupakan gejala paling buruk dalam imperialisme dan ia dilaksanakan melalui dasar penjajahan (kolonialisme) yang tidak memberi persamaan hak atau taraf bangsa-bangsa.Keburukan imperialisme dan kolonialisme telah menyebabkan timbul penentangan untuk menghapuskannya. Gerakan anti-kolonialisme ini dikenali sebagai gerakan kebangsaan atau nasionalisme. Situasi inilah yang sedang rancak berlaku di Asia Tenggara menjelang dekad 1940-an. Nasionalisme secara khususnya membawa pengertian kepada satu kesedaran yang membangkitkan semangat bertujuan untuk mendapatkan kebebasan atau kemerdekaan.Kebebasan merupakan hasrat yang diperjuangkan oleh individu dan rakyat untukmembebaskan negara mereka daripada cengkaman dan belenggu penjajah. Kebangkitan nasionalisme adalah satu bentuk kesedaran di kalangan rakyat dalam sesebuah negara untuk menebus maruahnya yang turut tercemar melalui dasar penjajahan kuasa asing. Perjuangan itu juga bertujuan untuk menentukan masa depan bangsa dan negara yang merdeka. Ini bermakna, nasionalisme bergerak dan berkembang ke arah menebus semula identiti bangsa yang bertamadun dan berbudaya tinggi. Kebangkitan semangat nasionalisme dan anti-kolonisme yang tinggi di Asia Tenggara adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya ialah kesan pendudukan Jepun di Asia Tenggara, kemunculan dan peranan dari golongan berpendidikan moden, perkembangan sistem pendidikan, pengaruh komunisme dan sosialisme, peranan golongan agama, perkembangan sistem komunikasi dan juga peranan media.

2.0     PERJUANGAN KEMERDEKAAN
Kesan kebangkitan nasionalisme dan anti kolonialisme di Asia Tenggara sekitar tahun 1940-1950 telah membawa ke arah berkerajaan sendiri dan akhirnya mendapat kemerdekaan. Negara-negara di Asia Tenggara kebanyakannya telah mendapatkan kemerdekaan negara antara tahun 1940 sehingga tahun 1950. Hal ini juga telah menamatkan pemerintahan kolonialisme di Asia Tenggara. Selepas pendudukan Jepun, masyarakat Asia Tenggara mula sedar akan kepentingan berkerajaan sendiri dan mula memberikan tumpuan untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah yang sudah lama bernaung di negara mereka.[1]

Walaupun gerakan nasionalisme pada dasarnya adalah disebabkan oleh kebencian dan kesedaran membebaskan negara daripada penjajah tetapi golongan ini akhirnya gerakkan ini telah berjaya menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan yang dicapai membolehkan negara-negara di Asia Tenggara mengamalkan pemerintahan sendiri tanpa bantuan rejim-rejim kolonial. Masing-masing mengamalkan pemerintahan demokrasi dengan cara tersendiri mengikut dasar pemerintahan sendiri seperti yang dirancangkan.[2]

          Antara negara Asia Tenggara yang mendapat kemerdekaan dalam tahun 1940-an sehingga 1950-an ialah Filipina, Indonesia, Burma dan Vietnam. Filipina mencapai kemerdekaan pada 4 Julai 1946.  Sebenarnya, semangat nasionalisme ini mula wujud secara kukuh setelah pelbagai perubahan dilakukan oleh Sepanyol. Golongan yang mula mencetus revolusi nasionalisme di Filipina terdiri daripada peladang-peladang yang kaya, peguam, doktor pakar, penulis dan pekerja kerajaan. Ini kerana pendidikan yang dibawa masuk oleh penjajah telah membuka mata mereka mengenai kepentingan pendidikan. Mereka mula membaca buku serta suratkhabar bagi membincangkan masalah politik negara. Kesannya, mereka mula menghantar anak-anak mereka ke kolej-kolej dan universiti di Manila dan di luar negeri.

          Oleh itu, bidang pendidikan telah dlihat sebagai pencetus semangat nasionalisme[3]  sehingga membawa kemunculan golongan cerdik pandai terkenal dan muncul juga Gerakan Propaganda yang menggalakkan bangsa Filipina supaya melancarkan revolusi seperti Jose Rizal, Mariano Ponche dan Dr. Pedro.[4] Golongan berpendidikan termasuklah golongan yang mempercayai aliran liberal dari Amerika dan Eropah telah membawa bersama mereka suratkhabar dan buku-buku yang mengandungi fikiran-fikiran daripada ahli falsafah seperti Monstequieu, Rosseau, Locks dan juga fahaman politik bercorak demokratik Amerika dan Perancis.[5]  Melalui pembacaan tersebut, orang Filipina sudah mula memikirkan hal-hal politik dan pemulihannya, kebebasan dan keadilan sehingga lama-kelamaan mereka mula berani menuntut pemulihan dalam sistem kerajaan demi kesejahteraan rakyat Filipina sendiri sehingga kini.

          Manakala Indonesia telah diisytiharkan merdeka sebagai sebuah negara republik berdaulat dan merdeka pada 17 Ogos 1945.[6]  Pada 1 Ogos 1943, Burma pula diisytiharkan merdeka oleh Jepun dan diberikan sebuah perlembagaan baru.[7] Setelah sebahagian daripada Vietnam dapat dikuasai oleh Vietnam, maka pada 2 September 1945, Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan dan pembentukan kerajaan Republik Demokratik Vietnam.[8] Laos pula mendapat pengisytiharan kemerdekaan pada 8 April 1945. Pada 1 September 1945, Putera Phetsarath mengisytiharkan kemerdekaan Laos dan dua minggu kemudian, beliau mengisytiharkan pula percantuman kerajaan Luang Prabang dengan kawasan selatan menjadi negara Laos yang merdeka.[9] Kawasan selatan yang dicantumkan dengan Luang Prabang ini ialah kawasan Vientiane di mana kedua-dua kawasan ini dipecahkan mengikut pentadbiran masing-masing. Percantuman kedua kawasan ini membolehkan Laos mempunyai pentadbiran yang seragam dan teratur yang menjamin kedaulatan negara. Kamphucea pula mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada bulan November 1949. Kemerdekaan Kamphucea secara sepenuhnya diperjuangkan oleh Sihanouk.[10]

3.0     PEMBENTUKKAN NEGARA BANGSA
Konsep negara bangsa berasal dari Eropah sejak abad ke -19, ianya mula berpengaruh di Asia Tenggara pada abad ke-20 khususnya semasa era pendudukan Jepun. Konsep ini merupakan sesuatu pemikiran politik yang moden. Konsep dan teori Negara Bangsa peringkat asas sekali ialah  negara merupakan unit politik yang terdiri daripada penduduk yang saling mengakui mereka berjati diri yang sama melalui perkongsian beberapa raw materials iaitu aspek sosio-budaya penting yang sama seperti bahasa, agama, nilai-nilai sosio-moral dan budaya, perasaan taat setia terhadap tanah air dan pengalaman sejarah yang sama.[11] Semua negara berdaulat Asia Tenggara pasca Perang Dunia Kedua mentadbir negara mereka masing-masing sebagai sebuah negara bangsa yang memegang kukuh kepada prinsip politik nasionalis dan anti-kolonialis, dan yang kuasa politik dan pentadbiran iaitu negeri berasingan daripada masyarakat madaninya.     

Salah satu elemen asas kepada pembentukan Negara Bangsa di Filipina ialah aspek bahasa Bahasa Filipino merupakan bahasa kebangsaan yang berasaskan kepada bahasa Tagalog yang dituturkan di Pulau Luzon di sekitar wilayah ibu kota Filipina[12]. Bahasa Filipina merupakan salah satu elemen yang menjadi pelengkap kepada pembentukan negara bangsa di Filipina. Bahasa Pilipino ini akhirnya secara rasmi disebut sebagai Filipino pada tahun 1959 selepas merdekanya Filipina. Bahasa Pilipino bukan saja menjadi bahasa rasmi bagi masyarakat negara Filipina tetapi menjadi subjek teras yang diajar di sekolah rendah dan juga sek menengah dan membuktikan bahawa bahasa tersebut menjadi teras kepada bahasa pertuturan di negara Filipina. Hal ini jelas menunjukkan bahasa Pilipino dijadikan sebagai salah satu elemen yang meyokong kepada konsep Negara Bangsa.

Negara kedua ialah Indonesia yang memperjuangkan pembinaan negara bangsa. Pada 17 ogos 1945 Indonesia mencapai kemerdekaan daripada Belanda dan Sukarno dilantik menjadi Presiden pertama di Indonesia.[13] Indonesia mampu membentuk negara bangsa melalui penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan[14],bahasa pengantar di sekolah rakyat hinggalah sekolah tinggi.[15] Bagi mewujudkan penyatuan bangsa di Indonesia, masyarakat Cina juga dipaksa membuang tali sosio budaya rumpun bangsa seperti nama dan bahasa sekiranya mereka ingin menerima hak kerakyatan Indonesia.[16] Jelaslah konsep negara bangsa yang diperjuangkan oleh gologan nasionalisme telah berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa Indonesia.

3.1     Sistem Pentadbiran
Kesan kebangkitan nasionalisme juga telah menyebabkan penduduk tempatan terutamanya golongan nasionalis bangkit memperjuangkan tanah air. Mereka mula bersatu padu merangka sistem politik dan pentadbiran negara masing-masing. Ketua-ketua parti-parti politik mula mengeluarkan ideologi masing-masing untuk diserapkan dalam bidang politik dan pentadbiran. Perlembagaan negara masing-masing mula dirangka sebagai persiapan untuk mentadbir negara sendiri dengan lebih sistematik mengikut keperluan dan keupayaan penduduk. Contohnya Di Indonesia perlembagaan mula dirangka beberapa hari sebelum pengisytiharan kemerdekaan. Ini menunjukkan bahawa mereka suda mempunyai strategi dalam pengurusan pentadbiran. Akhirnya nama Republik Indonesia Serikat telah dipersetujui. Pentadbiran yang dipilih ini adalah berdasarkan konsep pentadbiran berdemokrasi dan federalisme( serikat )[17]. Pentadbiran ini akan ditadbir oleh seorang presiden. Manakala bagi pemilihan ahli politik akan dibincangkan di parlimen.

          Keyakinan mereka untuk mentadbir sendiri juga kian jelas. Hal ini tidak terkecuali di Vietnam juga. Perlembagaan Jepun telah diubah dan digantikan dengan perlembagaan baru yang diumumkan pada 1947. Antara perubahan yang diperbaharui dalam perlembagaan ini adalah seperti pembubaran beberapa badan-badan elit sebelum perang seperti Majlis Privy dan perkhidmatan tentera serta yang lain diletakkan di bawah cabinet iaitu sebuah kabinet yang menyerupai kabinet British. [18] Dilihat disini Vietnam telah memilih untuk mentadbir seperti pentadbiran British tetapi bukan dibawah pentadbiran penjajah lagi. Pentadbiran dalam negara ini mula diterajui oleh anak tempatan sehinggalah kini.

          Setelah mencapai kemerdekaan juga, Burma atau Myanmar telah memilih pemerintahan yang berdasarkan demokrasi bercorak republik dengan kecenderungan sosialis dari segi ekonomi dan berkecuali yang ketat atau neutral dari segi politik antarabangsa. Pemerintahan demokrasi yang diamalkan adalah satu bentuk pemerintahan yang berbentuk demokrasi berparlimen . Bentuk pemerintahan Burma juga banyak mengikut system pemerintahan Parlimen British dengan memperkenalkan dua dewan.[19] Dewan ini terdiri daripada Dewan Perwakilan sebagai Dewan Rendah dan Dewan Kebangsaan sebagau dewan tertinggi.Kedua-dua dewan ini dipilih oleh Rakyat.Mnakala setiap empata tahun satu pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Berlainan pula dengan negara Thailand yang menukar corak pemerintahan dari pemerintahan beraja kepada demokrasi berparlimen kerana Thailand masih berjaya mengekalkan kemerdekaannya daripada kolonialisme Barat.

 Begitu juga situasi keadaan Negara-negara lain di Asia Tenggara. Kebangkitan nasionalisme telah menyebabkan mereka lebih yakin untuk memimpin sendiri negara mereka dengan ideologi politik pemimpin tempatan dan mula menyusun semula sistem pentadbiran yang baru setelah lama ditadbir mengikut pentadbiran negara penjajah seperti Jepun yang mentadbir dibawah kuasa ketenteraan dan penjajah-penjajah barat yang lain yang memerintah mengikut sistem pemerintahan negara asal.

3.2     Perkembangan Parti-Parti Politik
Selain Parti Nasional Indonesia Parti Komunis Indonesia juga ditubuhkan bersama golongan nasionalis untuk menentang penjajah. Akan tetapi, penubuhan Parti Komunis Indonesia ini mempunyai matlamatnya yang tersendiri yang mementingkan ideologinya dan bukan kepentingan negara.[20] Oleh itu, parti ini telah disingkirkan dari perjuangan nasionalis utnuk berjuang mencapai kemerdekaan. Ini menunjukkan bahawa wujud parti-parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan negara sendiri untuk bangun dengan pemerintahan sendiri.

Setiap parti juga dilihat cuba mengembangkan ideology masing-masing. Pada tahun 1951, parti-parti terbesar di Indonesia ialah Masjumi (parti Islam) yang mempunyai pengaruh besar terhadap penduduk Islam Indonesia. Parti kedua terpenting ialah Parti Nasional Indonesia (PNI) yang mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat. Kemunculan parti-parti lain juga dapat dilihat semakin bertumbuh. Parti-parti lain termasuklah Parti Sosialis, Greater Indonesia Party, Parti Katolik, Parti Kristian, Parti Petani, Parti Buruh dan Parti Komunis. Walauun begitu keadaan negara Indonesia yang masih muda dalam menentukan arah tuju negaranya telah muncul perbezaan pendapat antara parti-parti politik ini.  Ringkasnya, kesan daripada kebangkitan nasionalisme dan anti-kolonialisme telah menyebabkan wujudnya perkembangan parti politik di Indonesia.

Begitu juga keadaannya di Negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietman. Kumpulan yang paling berjaya mengambil peluang daripada keadaan yang sedia ada ialah Viet Minh, sebuah organisasi yang terdiri daripada anggota-anggota PKI dan kumpulan nasionalis yang lain. Viet Minh telah ditubuhkan pada bulan Mei 1941 dan berjaya memperbaiki kedudukannnya di Tonkin.[21] Pada bulan Mac 1945, Viet Minh telah membuat persediaan rapi untuk merampas kuasa dan pada bulan berikutnya, Tentera Pembebasan Vietnam telah ditubuhkan di bawah Vo Nguyen Giap dan Chu Van Tan. Pada masa yang sama, Viet Minh telah berusaha mempengaruhi golongan belia di bahagian selatan. Kejayaan Viet Minh yang lebih penting ialah mendapatkan sokongan daripada Parti Perikat seperti memperoleh maklumat awal (misalnya berita tentang kekalahan Jepun), senjata, latihan dan ubatan.[22] Selain itu, Ngo Dinh Diem pula telah menubuhkan sebuah parti politik yang dinamakan Can Lao pada tahun 1956. Ideologi parti ini ialah sokongan kepada seorang personaliti dan ketua parti, Ngo Dinh Diem, memastikan setiap ahlinya memberi kesetiaan kepada Diem. Keanggotanya juga penting untuk kenaikan pangkat bagi pegawai awam tentera. Diem berjaya menggunakan parti ini untuk menamatkan warisan Perancis dalam kerajaan yang sentiasa membimbangkan Presiden yang anti-Perancis ini.[23] Ringkasnya, kesan daripada kebangkitan nasionalisme dan anti-kolonialisme telah menyebabkan wujudnya perkembangan parti politik di Vietnam yang ingin memperjuangkan kemerdekaan.

3. 3    Semangat Nasionalisme Yang Tinggi
Kebangkitan nasionalis telah membuka mata rakyat di setiap negara. Golongan nasionalis ini telah menyedarkan mereka bahawa pentingnya mereka bersatu padu untuk menentang penjajah. Mereka mula sedar bahawa, sekiranya mereka ingin Berjaya menggulingkan penjajah mereka perlu bersatu hati dan bukan saling menentang satu sama lain. Oleh itu, melihat keadaan ini di Indonesia, Parti Nasional Indonesia telah ditubuhkan untuk menyatupadukan semua parti politik dalam sebuah persekutuan parti-parti politik kebangsaan Indonesia. Ianya bertujuan untuk mencapai perpaduan rakyat dan mewujudkan semangat kebangsaan. Perpaduan ini telah mendatangkan hasil apabila Parti Nasional Indonesia ini telah menuntut kemerdekaan penuh bagi Indonesia baik dari segi ekonomi mahupun politik.[24]

          Seterusnya, sekitar bulan Ogos 1945 terdapat perkembangan penting yang telah memberi kesan terhadap perkembangan politik di Vietnam, iaitu perkembangan persatuan dan parti politik yang dipengaruhi oleh “sentimen patriotik”.[25] Malah keanggotaan kumpulan ini turut meliputi juga pegawai tinggi kerajaan yang telah mula menyokong kemerdekaan dan bersifat anti-Perancis.[26] Maka disini kita telah melihat bahawa kesedaran tentang semangat kebangsaan itu telah meresap masuk kedalam penduduk di Vietnam juga dimana pegawai-pegawai kerajaan juga telah mula bersatu padu dengan golongan nasionalis untuk membebaskan diri dari belengu penjajah. Sehinggakan akhirnya melalui perpaduan ini mereka telah Berjaya mencapai kemerdekaan sehingga kini.

4.0     SISTEM EKONOMI
Abad 19  memperlihatkan kuasa barat sebagai berkuasa terhadap sumber ekonomi Asia Tenggara yang mana mereka berkuasa dalam segala hal ekonomi Asia tenggara. Negara-negara Asia Tenggara dijajah dan eksploitasi bahan mentahnya untuk dihantar ke kilang di Barat. Hal ini telah memperlihatkan beberapa perkembangan yang telah dibawa oleh pihak barat dalam sector Ekonomi di asia tenggara. Namun demikian, tamatnya perang dunia kedua telah dilihat  kebanyakan negara merdeka di Asia tenggara mempunyai perubahan dalam sistem ekonomi. Kebangkitan golongan nasionalisme dalam memperjuangkan semula tanah air turut member kesan dalam aspek ekonomi. Meskipun pengaruh daripada penjajahan barat tidak dapat di buang serta merta namun pelaksanaan penguasaan ekonomi kini telah jatuh kembali ke tangan rakyat tempatan.[27] Hal ini menujukkan bermulanya kembali era golongan tempatan mendominasi ekonomi.

Di Myanmar, perjuangan kemerdekaan politik oleh pemimpin AFPFL dan pengawai kanan telah membawa turut kesan ekonomi iaitu semasa persidangan Sorrentu Villa pada Jun 1947. Persidangan ini telah merombak dan menghapuskan bentuk ekonomi kolonial iaitu eksport  yang berasaskan pertanian dan sumber alam. Kesannya ialah pengenalan kepada ekonomi nasional yang mana ia menumpukan penguasaan negara itu sendiri terhadap sumber-sumber ekonomi dan perindustrian serta menjanjikan jaminan kepada kebajikan rakyat dari segi ekonomi dan sosial. [28] Dasar ekonomi ini menunjukkan kepimpinan Myanmar sedar bahawa perlunya mereka merancang ekonomi sendiri daripada bergantung kepada barat yang jelas eksploitasi ekonomi mereka untuk kepentingan sendiri.

Dasar nasionalisasi pula merupakan dasar yang digunakan oleh kerajaan untuk menangani masalah ekonomi di Myanmar. Merka tidak mahu lagi terus dieksplotasi oleh penjajah dengan sewenang-wenangnya. Pengenalan kepada dasar ini telah menyaksikan beberapa perubahan telah berlaku di Myanmar. Pemulaan dasar ini dapat dilihat melalui penyekatan konsesi ekonomi syarikat asing. Kilang-kilang hak milik barat contohnya syarikat Irrawady Flotilla milik british telah menjadi hak milik kerajaan pada Jun 1948 dengan bayaran £309 000 untuk ganti rugi. Rampasan juga dilakukan terhadap tanah milik chetti. Hal ini jelas menunjukkan Myanmar cuba untuk memutuskan  hubungan dengan kerajaan British dan India dengan menggunakan dasar ini sebagai faktor. Kesan penolakan ini telah mengakibatkan kemerosotan dalam pelaburan asing di sektor ekonomi Myanmar.[29] Apa yang boleh dikatakan di sini, kekurangan pelaburan asing boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi terbantut kerana Myanmar ketika itu masih baru untuk menjana kembali ekonomi sendiri.

Perlembagaan 1947 ini telah memperkenalkan semula usaha untuk mengawal harga bagi komoditi utama pengguna dan masalah pengurangan gaji. Hal ini dapat dilihat akan dapat dilihat jelas semasa pemerintahan Ne Win. Beliau telah melakukan beberapa perkara dalam membangunkan ekonomi Myanmar seperti melakukan usaha memiliknegaraan sector-sektor perbankan , industry besar dan perdagangan dan memperbaiki penyewaan tanah, penyewa dan pinjaman untuk pertanian.[30]

 Bagi mempertingkatkan kembali ekonomi Myanmar, ekonomi sosialis telah dimulakan semula oleh Ne Win selepas tahun 1962. Kesan ini memperlihatkan kerajaan cuba meningkatkan kebajikan ekonomi dan sosial penduduk dan mengecilkan jurang perbezaan golongan kaya dan miskin yang berlaku ketika pemerintahan kolonial. Ekonomi sosialis ini sebenarnya telah dimulakan sebelum 1962.Antara buktinya ialah kerajaan telah mengeluarkan lebih 50 peratus jumlah pinjaman kredit kepada petani melalui institusi kewangan seperti Bank negara, bank pertanian dan bank perdagangan di sampaing turut terlibat dengan usahasama dengan pengusaha tempatan dalam bidang pengeluaran.[31]

Pembangunan semula ekonomi ini beterusan seingga tahun 1971 menyaksikan dasar ekonomi ini disemak semula. Kerajaan mewujudkan rancangan ekonomi 20 tahun yang dilaksanakan dalam lima peringkat untuk memperbaiki kelemahan sedia ada. Kerajaan masih mengekalkan sosialisme sebagai teras pembangunan ekonomi. Rancangan ini menumpukan kepada pertanian,perikanan, ternakan dan perhutanan serta melaksanakan pemulihan industri yang berkaitan dengan pengeluaran barang pengguna dan perlombongan logam, hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mencapai kadar 4.2 peratus pada 1974 dan menunjukkan kali pertama keluaran kadar negara (GDP) telah melewati kadar angka yang pernah dicapai semasa zaman kolonial. [32] Maka dengan ini sangat jelaslah bahawa kesan kebangkitan nasionalisme dalam memperjuangkan kemerdekaan turut memerdekan negara masing-masing dalam aspek ekonomi. Semasa zaman colonial, penjajahlah yang menguasai dan mengendalikan aspek ekonomi sehingga ketidakseimbangan ekonomi terhadap rakyat tempatan berlaku. Ini kerana ekonomi dikawal oleh penjajah untuk kepentingan negara asal mereka dan telah mengabaikan keperluan penduduk tempatan. Hal ini turut menjadi faktor kebangkitan golongan nasionalisme sehingga akhirnya penduduk tempatan telah berjaya merangka dan memajukan sector ekonomi negara masing-masing meskipun terpaksa melalui pelbagai peringkat seperti yang berlaku di Vietnam.







No comments:

Post a Comment