Wednesday 2 March 2011

SEJARAH RAJA LUMU

1.0            PENGENALAN
Raja Lumu ialah  Sultan Selangor yang pertama. Raja Lumu ialah anakanda kepada Daing Chelak iaitu berketurunan  Raja Bugis yang telah datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau untuk menentang Daeng Mateko yang ingin membuat kacau di Kuala Selangor ini[1]. Namun begitu, walaupun  Raja Lumu  berasal daripada keturunan Bugis, Daing Chelak merupakan salah seorang daripada  lima bersaudara yang dikatakan putera dari Bugis yang telah mengembara ke seluruh Alam Melayu. Kesultanan baginda telah diiktiraf  pada pertengahan kurun ke-18. Keadaan ini secara tidak langsung telah membawa kepada kebebasan negeri Selangor daripada kekuasaan Johor-Riau.   

Skop tugasan adalah tertumpu kepada bagaimana  peristiwa perlantikan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor pada tahun 1766 . Bagaimana  proses perlatikan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor pada tahun 1766  boleh dilihat daripada aspek sejarah kedatangan Bugis di Tanah Melayu , rentetan peristiwa penglibatan Bugis di Selangor pada abad ke 17 dan 18, melihat juga asal usul Raja Lumu sebelum menjadi Yam Tuan Muda Selangor dan melihat bagaimana pertabalan Raja Lumu menurut Misa Melayu dan siapa yang mengiktiraf Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama seta  mengapakah  Raja Lumu memilih  Sultan sesebuah negeri tersebut.Dengan melihat beberapa aspek ini ,maka proses pertabalan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor ditabalkan pada tahun 1766.


2.0       SEJARAH BUGIS
Penghijrahan Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula sekitar tahun 1667 Masihi apabila Makasar, Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Namun begitu, penglibatan Bugis secara aktif di Tanah Melayu dapat dilihat pada akhir abad ke-17 sehingga abad ke-18 iaitu apabila kelima-lima putera Bugis yang bernama Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi telah mengembara ke seluruh Alam Melayu. Opu Bugis Lima Bersaudara ini merupakan putera kepada Raja Bugis yang bernama Opu Tandari Borang Daeng Rilaka iaitu putera kepada LaMaddusalat, yang memerintah Luwuk Indonesia pada ketika itu.[2] Namun begitu, suku bangsa Bugis yang berperanan dalam campurtangan politik Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-18 ini adalah dikatakan berasal daripada gabungan suku bangsa toUgi dan toMengkasara iaitu Bugis-Makasar.

Penglibatan Bugis di Tanah Melayu terutamanya Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah dikatakan telah berjaya merombak tradisi diraja melayu yang sebelum itu dikatakan mempuyai titisan darah dari Palembang, khususnya Bukit Siguntang Mahameru.[3]. Penglibatan mereka di Tanah Melayu  dikaitkan dengan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan –kalangan pewaris takhta. Oleh yang demikian ,kedatangan orang bugis di Tanah Melayu  amat dirasai oleh semua pihak seperti raja-raja melayu  dah  pihak penjajah  barat terutamanya Belanda. Kesan kedatangan orang bugis telah mengambil kesempatan perterlingkahan  daripada pihak tertentu bagi memperluaskan pengaruh  dalam organisasi kepimpinan kerajaan Melayu sekaligus menjadi tulang belakang dalam pentadbiran kerajaan.

3.0       PENGLIBATAN BUGIS DI SELANGOR PADA ABAD KE-17 DAN 18
Pada kurun masihi yang ke-17, orang-orang bugis dari Tanah Bugis (Sulawesi), didapati sudah lama telah bermaustatin di negeri Selangor . Pada bulan  Januari tahun 1682 adik Sultan Kedah meminta kebenaran Belanda untuk meminta bantuan orang-orang bugis  untuk melawan abangnya Sultan Kedah dan ia telah menyatakan dua buah kapal dan tiga atau empat ratus orang Bugis membantunya . Dalam keterangan tersebut nyatalah menunjukkan pada kurun yang ke-17 orang Bugis telah ramai mendiami negeri Selangor.

Pada awal kurun masihi yang ke -18, lima bersaudara dengan angkat mereka telah pergi mengembara ke merata tempat, dan telah sampai ke perairan Kerajaan Johor-Riau. Lima bersaudar ini ialah Daing Perani,Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi .Kesemuanya adalah putera Raja Bugis yang bernama Daing Rilaka[4].

Pada tahun 1728, Daing Merewah Keana Jaya Putera  memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Johor I dari Riau telah datang  ke Selangor bersama orang Bugis pergi membantu adik Sultan Perak iaitu Raja Inu  di Bernam untuk menyerang abangnya Sultan Perak iaitu Sultan Alauddin Mughayat Shah pada masa itu Sultan Perak ke-12. Kemudianya ,Daing Marewah balik semula ke Selangor dan terus pulang ke Riau. Daing Meraweh telah mangkat di Riau dan digantikan oleh adiknya Daing Chelak sebagai Yamtuan Muda Riau II.

Pada tahun 1740, Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daing Matekkko yang dikatakan membuat kekacauan di Selangor.[5] Akhirnya Daing Matekko mengalami kekalahan dan lari ke Siak dan sejak itu keraplah Daing Chelak  berulang-alik dari Riau ke Selangor. . Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau.
Pada tahun 1742,  Daing Chleak datang ke Selangor dan membawa orang-orang Bugis dari Selangor pergi menyerang negeri Perak yang masa itu di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pada masa itu, Yang Dipertuan Muda berselisih faham dengan abangnya Sultan Perak . Orang-orang besar Perak menyebelahi Yang Dipertuan Muda manakala orang-orang Bugis datang dan lalu  mengangkat Yang Dipertuan Muda sebagai Sultan dan bergelar Sultan Muhammad Shah. Bermulalah Kesultanan Perak berpecah kepada dua pemerintah ,Sultan Muzaffar Shah memerintah bahagian utara manakala Sultan Muhammad Shah memerintah di bahagian selatan.

Daing Chelak menetap di Perak agak lama dan akhirnya beliau pun  kembali ke Selangor dan pulang ke Riau setelah dijemput oleh anak-anak raja dari Riau. Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Selangor.

Pada tahun 1745, Daing Chelak mangkat di Riau dan meninggalkan dua orang putera dan seorang puteri iaitu Raja Haji di Riau dan Raja Lumu di Selangor. Daing Kemboja telah diangkat oleh orang Bugis di Selangor menjadi Yamtuan Muda Riau III memandangkan Raja Lumu pada masa itu terlalu muda dan belum dewasa. Pada tahun 1756, Raja Lumu dihantar ke Selangor sebagai pemerintahan Selangor sebagai wakil kerajaan Johor dan pada tahun 1766, Raja Lumu diiktiraf oleh Sultan Perak sebagai Sultan Selangor yang pertama.

4.0       ASAL USUL RAJA LUMU
Rajah Menunjukkan Salasilah dari Tuhfat Al-Nafis oleh Al-Marhum Raja Ali Al-Haji Riau, 1932
(Sumber dipetik: Buyong Adil. Sejarah Selangor, hlm.187)[6]

Sebelum kita mengetahui bagaimana  peristiwa pertabalan Raja Lumu diangkat sebagai Sultan Selangor yang pertama, maka terlebih dahulu  marilah kita mengetahui salasilah Raja Lumu . Raja Lumu atau lebih dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah merupakan anakanda Daing Chelak iaitu Yamtuan Muda Johor II yang berdarah Bugis.

Pada tahun 1740 di mana, Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daing Matekkko yang dikatakan membuat kekacauan di Selangor.[7] Akhirnya Daing Matekko mengalami kekalahan dan lari ke Siak . Daeng Chellak telah menjadi pemimpin di Selangor khusunya Kuala Selangor setelah didesak oleh masyarakat Kuala Selangor supaya Daeng Chellak menjadi ketua dan pemimpin di kawasan itu. Walaupun Daeng Chellak telah menjadi ketua di Selangor namun  Daing Chelak  berulang-alik dari Riau ke Selangor. Akibat daripada ulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor, Daeng Chellak telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Daeng Masik Arang Pala dari Riau iaitu ibu kepada Raja Lumu. Perkahwinan antara Daeng Chellak dengan Daeng Masik Arang Pala telah dikurniakan tiga orang cahaya mata termasukklah Raja Lumu yang merupakan anak sulung daripada hasil perkahwinan tersebut.

Raja Lumu hanya mempunyai tiga orang adik beradik iaitu seorang adik lelaki dan adik perempuan. Adik lelakinya bernama Raja Ali yang merupakan seorang tokoh dan pahlawan Bugis yang terkenal. Manakala adik perempuannya bernama Raja (Daeng) Hafsah yang telah berkahwin dengan Daeng Lakani.

 Pada 19 Mei 1745, Daing Chelak telah mangkat di Riau. Kemangkatan Daing Chelak telah meninggalkan beberapa orang putera dan puteri  antaranya Raja Haji dan Raja Lumu. Raja Haji ditempatkan di Riau manakala Raja Lumu dihantar ke Selangor.[8]Kemangkatan Daing Chelak telah meninggalkan kekosongan jawatan Yamtuan Muda Johor-Riau. Anak Daing Chelak, Raja Lumu masih kecil lagi sehingga ada yang mengatakan Raja Lumu ketika itu masih belum remaja lagi  Disebabkan oleh faktor tersebut, jawatan Yang Dipertuan Muda Johor-Riau telah diisi oleh Daing Kemboja yang juga merupakan sepupu kepada Raja Lumu. Daing Kemboja merupakan anak kepada Daing Parani dan semasa Daing Kemboja di Selangor, ia telah diangkat oleh orang-orang Bugis di  Selangor. Pada tahun 1748, Sultan Sulaiman Badrul Shah mengangkat Daing Kemboja menjadi Yamtuan Muda Riau (III).

5.0       PROSES PERTABALAN RAJA  LUMU
Menurut Misa Melayu menyatakan Raja Selangor datang ke  negeri Perak dengan kehendak diri sendirina. Setelah selesai Sultan Mahmud Syah bermesyuarat bersama pembesarnya, maka barulah Raja Lumu  dibenarkan masuk ke dalam negeri Perak.[9] Hal ini menunjukkan bahawa Raja Lumu bukannya dijemput oleh Sultan Perak tetapi datang dengan kehendak sendiri. Sumber Misa Melayu turut mengambarkan Raja Lumu datang  ke Perak untuk menghambakan diri kepada Sultan Mahmud Syah.

 “ Maka pada fikiran kita sekarang ia sudah datang ke negeri kita berhambakan dirinya kepada kita maka sekarang ini baiklah kita beri nobat sekali. ”[10]

Para pembesar Sultan Mahmud menyetujui cadangan tersebut kerana hal ini dapat menunjukkan kebesaran serta meningkatkan lagi kemasyuran Sultan dan negeri Perak Sebelum hari pertabalan segala persiapan pertabalan dibuat seperti membuat  gendang nobat dengan selengkapnya untuk dihadiahi oleh Raja Lumu pada hari pertabalan. Raja Lumu di tabalkan di Kota Lumut Perak dengan adat yang sepatutnya dan dihadiahkan nobat serta dianugerahkan cap mohor. Raja Lumu kemudiannya diberi gelaran sebagai Sultan Salehuddin.

Setelah dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama, setelah lama berada di Perak baginda bermohon pulang ke Selangor. Sultan Perak mengarahkan  seorang menteri  dan anak raja   yang bernama Raja Alang untuk mengiringi Sultan Salehuddin pulang semula ke Selangor.[11] Selepas itu, majlis seterusnya di lakukan pula di Selangor.

 Peristiwa yang dicatatkan dalam Misa Melayu ini jelas untuk menunjukkan kedaulatan dan kebesaran Sultan Perak sehinggakan Raja Lumu yang berketurunan Bugis sanggup datang menghadap Sultan Mahmud dan menghambakan diri. Misa Melayu ini juga menonjolkan bahawa Sultan Mahmud Syah seorang boleh menerima pendapat orang bawahan , dermawan dan murah hati sehingga memberi anugerah kepada Raja Lumu.



6.0       FAKTOR RAJA LUMU MEMINTA PENGIKTIRAFAN DARI SULTAN PERAK
Pada tahun 1766 Masihi Raja Lumu yang telah dewasa telah bersiap sedia untuk membebaskan Selangor dari cengkaman Johor Riau, hal ini disebabkan oleh peluang Raja Lumu untuk menjawat Yamtuan muda Riau masih lama, dan Raja Haji menjadi yang dipertuan Riau pada waktu itu. Raja Lumu bercita-cita untuk membebaskan Selangor dari Johor Riau. Untuk itu Raja Lumu berusaha mendapatkan pengiktirafan dari Sultan Perak iaitu Sultan Mahmud. Antara faktor penyebab negeri Perak menjadi pilihan Raja Lumu ialah mengukuhkan kedudukan, keturunan zuriat sultan melaka, ketiadaan alat-alat kebesaran diraja ,faktor pentadbiran di Johor, asal usul Raja Lumu dan faktor kedaulatan.

6.1 Mengukuhkan Kedudukan
Antara sebab mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan daripada Sultan Perak adalah kerana ingin mengukuhkan kedudukan baginda serta anak cucu baginda  sebagai raja pemerintahan yang sebenarnya di Selangor dan  bukan lagi tunduk bawah kekuasaan Kerajaan Johor-Riau.[12]Dengan adanya pengiktirafan daripada Sultan Perak maka kedudukan Raja Lumu semakin kukuh dalam pemerintahan Selangor.

6.2       Keturunan Zuriat Sultan Melaka.
Antara sebab  kedua mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan daripada Sultan Perak ialah kerana pengasas dinastinya adalah keturunan langsung zuriat Sultan Melaka.[13] Raja yang pertama bagi kerajaan Perak ialah Sultan Muzaffar Syah merupakan anakanda kepada Sultan Mahmud Syah, iaitu Sultan Melaka yang terakhir. Maka di sini bermulalah satu sistem pemerintah agung yang mewarisi Kesultanan Melayu Melaka. Oleh sebab itu Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak kerana pengiktirafan daripada waris Kesultanan Melayu Melaka adalah penting untuk menjamin kedudukannya dan mendapat kepercayaan daripada masyarakat.  Masyarakat Melayu mempercayai bahawa keturunan raja-raja Palembang mempunyai kesaktian yang luar biasa. Di sini jelaslah bahawa sememangnya wajar Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak untuk melantiknya sebagai Raja Selangor kerana pemerintah Perak adalah berasal dari darah daging Sultan Melaka.

6.3       Ketiadaan Alat-alat Kebesaran
Negeri Selangor tidak mempunyai alat-alat kebesaran dan traadisi pertabalan seperti gelaran yang khususdan cop mohor untukmenjadikan Negeri mereka betul-betul wujud.. Pertabalan seseorang raja tidak lengkap tanpa sebarang alat kebesaran seperti Nobat atau Nafiri.Kekurangan ini menyebabkan Raja Lumu yang tiada alat Muzik atau Nobat telah mendorong baginda memohon pengiktirafan daripada Sultan Perak untuk melantiknya sebagai Sultan Selangor yang pertama .Menurut Adat Istiadat Negeri Perak tidak ada Sultan yang dianggap berdaulat sehingga ianya ditabalkan dengan bunyian Nobat.Sesebuah kerajaan akan diperakui kewujudannya  apabila rajanya dapat menunjukkan alat kebesaran kerajaan yang bermakna dan dikatakan alat-alat ini penting bagi menunjukkan kekuasaanya.[14] Memandangkan permasalahan tersebut Raja Lumu mengambil tindakan tang sewajarnya iaitu dengan mendapatkan pengiktirafan daripada Sultan Perak kerana Baginda mempunyai segala peralatan yang menjadi warisan Kesultanan Perak.

Menurut Vincent Tung ( 1999 ), Raja Lumu telah beristerikan Puteri Diraja Perak lalu dinobatkan dan digelar oleh Sultan Mahmud Syah, Sultan Perak yang ke-16 ( 1756-1773) dengan Sultan Sallehuddin Syah. Sultan Sallehuddin kemudiaannya ditabalkan pula dihadapan rakyat Selangor dengan membunyikan Nobat dari Negeri Perak.[15] Dengan ini jelaslah bahawa ketiadaan Nobat telah mendorong Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak untuk melantiknya sebagai Raja Selangor yang pertama.

6.4       Faktor Pentadbiran di Johor
Disamping itu juga, sebab yang lain pula ialah Raja Lumu ingin mendapatkan pembebasan Selangor daripada pengaruh Kerajaan Johor. Seperti sedia maklum, Selangor adalah di bawah takluk Kerajaan Johor. Sememangnya keinginan Selangor untuk menjadi sebuah kerajaan yang bebas daripada pengaruh Johor telah lama wujud iaitu sejak kedatangan Daing Chelak ke Selangor lagi. Selain daripada itu, Raja Lumu menyedari bahawa masih terlalu lama lagi gilirannya untuk menjadi Yamtuan Muda Johor kerana pada masa tersebut jawatan itu disandang oleh Daing Kemboja. Keinginanya bertambah kuat lagi apabila penguasaan Johor terhadap Selangor semakin berkurangan selepas kemangkatan Sultan Sulaiman kerana pada masa tersebut, pentadbiran Kerajaan Johor diuruskan pemangku sultan iaitu Daing Kemboja dan beliau lebih berjaya mengawal Linggi berbanding Selangor.[16] Melihatkan kepada keadaan tersebut, sememangnya peluang untuk membebaskan Selangor dari Johor sangat besar.

Namun demikian, peluang tersebut hanya akan tinggal mimpi sahaja sekiranya baginda  memohon pengiktirafan daripada Sultan Johor. Ini adalah kerana baginda Sultan Johor sudah semestinya tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya atau dengan lebih mudah lagi tidak akan memberi pengiktirafan tersebut. Tambahan pula pada masa Sultan Mahmud Shah III masih terlalu muda, baru berumur labih kurang sepuluh tahun[17], dan sudah tentu Kerajaan Johor diurus oleh pemangku Sultan Johor iaitu Daing Kemboja. . Dalam Sejarah Johor, ada menyebut bahawa baginda telah dilantik menjadi sultan Johor dan pada ketika baginda berusia setahun.[18] Mengikut daripada kekananan pemerintah, Sultan Perak dilihat lebih berwibawa daripada Sultan Johor dan salah satu sebabnya adalah kerana faktor usia. Memandangkan usia baginda Sultan Johor yang masih mentah itu, baginda tidak boleh membuat sebarang tindakan serta keputusan terutamanya berkaitan pertabalan Sultan Selangor kerana pemikiran baginda masih kanak-kanak serta tidak mampu membuat keputusan yang tepat. Oleh yang demikian, pemilihan Sultan Perak adalah satu pilihan yang tepat.

6.5       Asal usul Raja Lumu
Raja Lumu menyedari bahawa baginda bukan penduduk tempatan atau anak jati Negeri Selangor sebaliknya penduduk luar atau asing yang berasal dari Sulawesi Selatan. Hal ini kerana beliau merupakan keturunan Bugis yang datang ke Selangor sebagai pendatang. Raja Lumu merupakan anak kepada Daeng Chelak iaitu Yamtuan Muda Riau II dan adik kepada Raja Haji.[19] Oleh sebab itu baginda telah memohon pengiktirafan daripada Sultan  Perak untuk menabalkannya menjadi Sultan Selangor yang pertama kerana baginda tahu sekiranya tidak berbuat demikian rakyat Selangor tidak akan mengiktirafnya sebagai sebagai sultan dan ini boleh dikaitkan dengan konsep yang daulat.

6.6       Faktor Kedaulatan
Hal ini kerana Raja yang tidak berdaulat tidak layak di sembah dan di hormati. Konsep daulat berbentuk satu sifat kekuasaan atau hak tertinggi yang di khaskan kepada golongan diraja sahaja. Sultan yang ditabalkan mempunyai daulat dan kewibawaan serta sebagai lambang perpaduan dan tunggak kemakmuran negeri. Rakyat wajib mentaati Sultan kerana baginda mempunyai kekuasaan yang istimewa.

Dengan ini dapat disimpulkan secara kecil bahawa konsep daulat memainkan peranan penting dalam pemerintahan seseorang Raja dan tanpa daulat Raja tersebut tidak mempunyai kuasa untuk memerintah dan Raja Lumu tidak mempunyai daulat. Oleh itu berdasarkan kepada konsep ini jelas terpapar sebab utama mengapa Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Sultan  Perak untuk menabalkamnya menjadi Sultan Selangor yang pertama.

7.0       KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, pertabalan Raja Lumu sebagai Yam Tuan Muda Selangor telah mewujudkan satu intitusi kesultanan yang berketurunan Bugis  di Selangor.  Jelaslah di sini bahawa Raja Lumu merupakan seorang yang tabah semasa memohon  pengintirafan daripada Sultan Perak untuk menjadi pemerintah yang bebas, meskipun memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan  kebenaran Sultan Perak untuk masuk ke negeri Perak.

Selain itu,  dapat dilihat bahawa Raja Lumu merupakan seorang yang berpandangan jauh dalam mengukuhkan kekuasaan keturunannya dalam pemerintahan di Selangor. Hasil daripada pertabalan itu Raja Lumu, Selangor bebas dari kekuasaan Johor-Riau yang setelah bertahun dijajah oleh pemerintahan negeri lain sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi iaitu kurun ke 15.

Setelah Melihat kepada sebab-sebab mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan Sultan perak, ternyata amat wajarlah pertabalan ini dibuat untuk membebaskan Selangor daripada kekuasaan Johor-Riau dan sekaligus mengangkat Raja Lumu sebagai Yam Tuan Muda Selangor.







5 comments:

  1. Terimakasih atas perkongsian sejarah

    ReplyDelete
  2. Salam,boleh bagitahu tak dari mana awak dapat sumber dari entry ini ?

    ReplyDelete
  3. Saya berminat dengan sejarah ini kerana saya sedang mengkaji salah silah keturunan saya yg mungkin seluhur dgn raja lumu

    ReplyDelete
  4. Soalan dr prof kho Kei khim bawa aku ke mari

    ReplyDelete
  5. mereka yg mengakui sebagai org selangor kena baca blog ini. tahniah dan terimaksih walupun ringkas tapi cukup padat. lagi satu aku pun berketurunan Bugis

    ReplyDelete