Friday 11 March 2011

Impak pendudukan Jepun ke atas kepulauan India Timur (Indonesia)

1.0  PENDAHULUAN

Semasa Perang Dunia Kedua, Negara-negara di Asia Tenggara terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut. Jepun berusaha untuk menguasai Negara-negara di Asia Tenggara selain mengusir penjajah Barat. Jepun telah menggunakan slogan “Asia Untuk Orang Asia” telah menarik perhatian dan sokongan masyarakat Asia.  Jepun juga telah menggunakan Slogan  “ Jepun Penyuluh Asia, pemimpin Asia, perlindung Asia, ia menjadikan batu asas untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat bahawa kedatangan Jepun Ini bukan sebagai kuasa penjajah tetapi sebagai pembela.[1] Sejarah pendudukan Jepun di Asia Tenggara telah mencatatkan bahawa Jepun telah berjaya menguasai Indonesia pada 9 Mac 1942 dan berakhir  pada bulan Ogos 1945 .Penduduk di Indonesia menyambut baik  kedatangan Jepun memberi rahmat kepada mereka untuk bebas daripada penjajahan Belanda . Namun sangkaan mereka ternyata meleset sama sekali kerana Jepun mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu bukan sahaja menghapuskan pengaruh Belanda dalam kalangan penduduk Indonesia malah mengeksploitasi sumber di Indonesia. Indonesia juga tidak ketingglan dalam menerima implikasi pendudukan Jepun dari kesan positif mahupun negatif. . Kesan-kesan negatif dan positif daripada pendudukan Jepun di Indonesia ini jelas dapat dilihat dari segi politik, ekonomi dan juga sosio-budaya.

2.0 KESAN PENDUDUKAN JEPUN DALAM ASPEK POLITIK DAN PEMERINTAHAN
Pendudukan Jepun di Indonesia telah  banyak mendatangkan kesan  positif dalam  perkembangan  politik dan pemerintahan.  Kesan yang ditinggalkan oleh  Jepun antaranya ialah:
2.1  Pengalaman dalam Bidang Pentadbiran
Selepas menakluki Indonesia, Jepun menghadapi masalah kekurangan pegawai untuk mentadbir Indonesia. Justeru itu, Jepun bertindak melantik golongan terpelajar Indonesia memegang jawatan dalam bidang pentadbiran dan teknikal di Indonesia.. Tindakan Jepun ini telah mengukuhkan lagi keyakinan diri dalam kalangan golongan terpelajar Indonesia bahawa mereka mampu untuk mentadbir Indonesia sendiri.  Hal ini dapat dibuktikan pada 9 Mac 1942,  sehari selepas Belanda menyerah,  beberapa pertubuhan Majlis Rakyat Indonesia  mempersembahkan senarai nama yang terpilih untuk menjawat dalam Kabinet.[2] Seterusnya pada 24 September 1942 sebuah suruhanjaya  bagi mengkaji undang-undang adat Indonesia dan juga selaku Majlis Penasihat kepada kerajaan tentera[3] yang dianggotai oleh pemimpin politik  iaitu Sukarno, Hatta, Sutardjo, Purbatjaraka serta Djajadiningrat. Tindakan Jepun ini telah mengukuhkan lagi keyakinan diri dalam kalangan golongan terpelajar Indonesia bahawa mereka mampu untuk mentadbir Indonesia sendiri.

2.2  Penubuhan Unit Ketenteraan
Sehubungan itu, bagi memantapkan  lagi sokongan penduduk Indonesia kepada kepada kerajaan tentera  Jepun, maka Jepun telah membentuk organisasi semi military dan military penuh. Semi  Military dibentuk untuk dijadika askar simpanan yang teriri pemuda dan wanita Indonesia,  manakala military penuh dibentuk untuk dijadikan rekrut iaitu askar sepenuh mas .Pada bulan April 1943  ditubuhkan Heiho(Askar Pembantu), seterusnya pada Jun 1943 ditubuhkan Unit Giyugun (Askar Sukarela ) di Sumatera[4] dan Tentera Pembela Tanah Air atau PETA pada Oktober 1943 di Jawa.[5]   Heiho, Giyugun dan PETA ditubuhkan untuk mempertahankan Indonesia daripada sebarang serangan kuasa Berikat.  Latihan yang diberikan oleh Jepun bertujuan untuk menanam dalam jiwa pemuda Indonesia suatu semangat baru dan disiplin yang akan membantu tentera Jepun dalam peperangannya terhadap pihak Bersekutu dan juga menentang kuasa-kuasa barat jika Jepun terpaksa menyerah kalah. Kesannya pendudukan Jepun ialah  kali pertama Indonesia mempunyai unit ketenteraan sendiri dan ini merupakan peluang terbuka untuk mendapatkan latihan yang memberi keuntungan kepada pengerak nasionalis dalam memperjuangkan kemerdekaan mereka sendiri.
2.3       Pertubuhan Bersifat Politik Di Benarkan
 Pendudukan Jepun di Indonesia  secara tidak langsung telah memberi sinar baru dalam dunia politik di Indonesia  apabila Perdana Menteri Jepun, Hideki Tojo, mengumumkan dalam Diet Jepun bahwa rakyat Hindia Timur akan diizinkan terlibat dalam pemerintahan negeri barulah tentera Jepun di Sumatera . Pada 8 Mac 1943, Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA ditubuhkan di Indonesia dan Sukarno dilantik sebagai pemimpinnya dengan dibantu oleh Hatta[6]. Sukarno dan Hatta pula dibenarkan berpolitik dan berpidato ke seluruh Indonesia.  Seterusnya, pihak Jepun sendiri telah menyokong penubuhan  berbentuk agama Majlis Sjura Muslim Indonesia (MASJUMI) pada bulan November 1943.[7] Melalui penubuhan PUTERA dan MASJUMI, pihak Jepun dapat mengambil hati rakyat dalam mengukuhkan lagi kedudukkan di Indonesia  . Malangnya di bawah bayang-bayang ini, MASJUMI sebernanya merupakan sebuah pertubuhan politik yang berpura-pura bekerjasama dengan Jepun. Ini disebabkan  Jepun membawa konsep yang bertentangan dengan akidah Islam. Kesan daripada sikap keterbukaan dan kepercayaan Jepun dalam   pernubuhan parti politik telah memakan mereka sendiri apabila kelonggaran yang diberikan menjadi peluang keemasan  PETA dan MASJUMI bagun  menentang Jepun.
                                                                        
3.0       KESAN PENDUDUKAN JEPUN DALAM ASPEK EKONOMI
Penjajahan yang telah berlaku akan memberi kesan sama ada  positif atau negatif kepada Negara tersebut. Indonesia juga menerima kesan  daripada penjajahan  tersebut dalam aspek ekonomi . Antara kesan yang ditinggalkan oleh Jepun ialah:

           3.1       Pembukaan  dan perkembangan  tanah dalam bidang pertanian  
Kesan postif pendudukan Jepun ke atas ekonomi Indonesia ialah dengan pembukaan dan  perkembangan tanah dalam bidang pertanian . Perkembangan dalam bidang pertanian  ini boleh dilihat apabila Jepun telah mendirikan TALAPETA (Taman Latihan Pemuda Tani) sebuah organisasi yang diasaskan oleh Lt. Inoue Tetsuro[8] yang mempunyai pengalaman mengorganisasikan usaha tani di Brazil.Amerika Syarikat. Pembukaan tanah baru merupakan kesan positif dalam pendudukan Jepun di Indonesia. Melalui pembukaan tanah baru dan hal ini dapat  mengatasi masalah kekurangan beras terutamanya di Jawa. Kesan  pendudukkan Jepun serba sedikit telah  memberi ilmu pengetahuan  dan latihan dalam pertanian dari tenaga pengajar yang professional.

3.2       Runtuhnya Ekonomi Perladangan
Dari aspek negatif pula kesan pendudukan Jepun di Indonesia kepada sector perladangan. Rancangan utama Jepun menjajah Indonesia adalah untuk menjadikan Sumatera  Timur, Indonesia sebagai sumber bahan mentah dan pasaran  bagi hasil-hasil  pengeluaran industrianya[9] dan meneruskan  dasar ekonomi Belanda  iaitu mengeksport  bahan-bahan  pengeluaran ladang.[10] Menjelang 1943, kapal-kapal pengangkutan Jepun telah dimusnahkan oleh kapal selam Amerika  dan kapal-kapal yang masih ada digunakan tujuan peperangan.Oleh sebab itu. Dasar ekonomi Jepun terhadap Indonesia  terpaksa menghadapi perubahan ketara kerana bahan mentah  dari Sumatera Timur   tidak dapat dihantar ke negeri Jepun dan juga bahan-bahan  keperluan tidak dapat dibawa masuk .Dalam  keadaan sebegini, pengeluaran ladang pada masa dahulu membawa keuntungan yang begitu lumayan bertukar menjadi tiada nilai. Ladang- ladang digunakan untuk mengeluarkan bahan makanan untuk penduduk, dan yang lebih penting untuk tentera Jepun di Sumatera. Hal ini telah dibuktikan apabila pokok-pokok getah telah ditebang untuk digantikan dengan penanam ubi kayu bagi makanan asas penduduk tempatan. Kesan daripada ini , pemulihan  dan perkembangan  dalam  sector perladangan  mengambil masa yang lama ini kerana pada zaman Jepun, ladang-ladang ditebang dan dijadikan tempat pengeluaran bahan makanan.

3.4       Masalah Kebuluran
Masalah ekonomi yang wujud semasa Jepun antaranya ialah inflasi, kehidupan yang serba daif, penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Jepun. Kesan ini lebih ketara apabila Sumatera Timur bergantung  kepada import bahan-bahan makanan kerana tidak dapat menmpung keperluan penduduk maka kekurangan bahan menjadi begitu ketara, kebuluran telah menjadi perkara biasa di Sumatera Timur.[11] Kedatangan Jepun telah membuatkan  kehidupan masyarakat Indonesia terlalu menderita berbanding zaman penjajahan Belanda . Penyakit-penyakit  seperti busung lapar dan kutu ada di mana –mana . Masyarakat kekurangan gizi dan banyak kes kematian kerana kelaparan.[12] Pengalaman sebeginilah memberi kesan dalam  jiwa dan psikologi   masyarakat tempatan  bahawa sikap Jepun juga sama dengan penjajah lain dan pentingnya  membebaskan negara sendiri daripada ditakluk penjajah.

4.0      KESAN PENDUDUKAN JEPUN DALAM ASPEK SOSI0- BUDAYA
Pendudukan Jepun di Indonesia secara tidak langsung telah memberi pelbagai kesan ke atas sosial masyarakat Indonesia antaranya ialah:

           4.1       Komunikasi dan Penggunaan Bahasa Indonesia
Bagi menghapuskan pengaruh Barat di Indonesia,  Jepun telah menguasai sepenuhnya media komunikasi seperti surat khabar , majalah, berita, radio, filem dan sebagainya. Surat khabar dan majalah khususnya, tidak boleh diterbitkan tanpa kebenaran pihak Jepun. Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Belanda dan Inggeris. Penggunaan bahasa Jepun digalakkan. Memandangkan bahasa Jepun tidak diketahui oleh kebanyakan orang Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan telah dipertingkatkan lagi.[13] Jepun  telah membenarkan  penerbitan sebuah surat khabar iaitu Sumatera Sinbun yang kemudian dikenali sebagai Kita Simatora Sinbun. [14] Penggunaan bahasa Indonesia telah  menguntungkan pergerakkan nasionalis dalam menyebar idea-idea nasionalis dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan penduduk Indonesia  Secara langsung menyebabkan berlakunya penyatuan dalam masyarakat sehingga rakyat Indonesia bersatu padu.

          4.2       Perpaduan dan Semangat Nasionalisme
Pendudukan Jepun di Indonesia secara tidak langsung telah memberi pelbagai kesan ke atas sosial masyarakat Indonesia. Hal ini dapat dilihat menerusi peningkatan semangat nasionalisme  dan perpaduan dalam kalangan penduduk tempatan sehingga telah mempercepatkan proses tuntutan kemerdekaan di Indonesia. Kekalahan Belanda ke atas Jepun adalah sesuatu perkara yang mengaibkan kerana sebelum ini mereka menganggap kuasa Barat lebih berkuasa daripada kuasa lain sekali gus melenyapkan ‘mitos superioriti’ yang menganggap kuasa Barat sukar untuk dihapuskan[15]. Selain itu, kekalahan Belanda terhadap Jepun sememangnya perkara yang memalukan apabila Belanda gagal menunjukkan sikapnya yang bersungguh-sungguh semasa menentang Jepun. Selain itu, cara mereka diusir dan ditawan merupakan satu penghinaan terhadap kuasa Belanda yang selama ini diagung-agungkan. Kemenangan Jepun telah membuka lembaran baru serta mengubah persepsi masyarakat tempatan bahawa orang Asia yang dianggap lemah juga mampu mengalahkan kuasa Barat yang dahulu dikatakan satu kuasa yang agung dalam dunia penjajahan.[16] Kekalahan Jepun ini secara tidak langsung telah menyebabkan rakyat Indonesia hilang keyakinan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda telah gagal melindungi Indonesia daripada pendudukan Jepun. Kewujudan semangat nasionalisme ini merupakan kesan baik yang diperolehi daripada pendudukan Jepun. Hal ini dibuktikan dengan pernubuhan PUTERA, PETA & MASJUMI. Penyebaran nasionalisme tidak menjadi masalah ini kerana Bahasa Indonesia sudah manjadi bahasa utama di Indonesia dalam pensuratan dan majalah di Indonesia.

          4.3       Nilai-nilai  Sosio-budaya Baru
Kaizen adalah konsep yang diketengahkan oleh orang Jepun yang bermaksud perubahan kearah kebaikan sikit demi sedikit.  Penduduk Jepun berpegang teguh kepada konsep ini sejak tamatnya Perang Dunia ke II lagi dan sehingga kini, Jepun merupakan negara yang amat maju di Asia dan juga di mata dunia.[17] Penduduk Indonesia memperlihatkan budaya Jepun  yang bersifat kerajinan, berdisplin, kesetiaan kepada negara dan taat kepada majikan merupakan kunci utama  Kemenangan Jepun ke atas Rusia pada 1904-1905.[18] Budaya yang ditonjolkan oleh Jepun telah mengubah pemikiran dan budaya penduduk tempatan  bahawasanya disiplin yang tinggi , berani, berilmu pengetahuan dalam semua bidang, keyakinan diri kesetiaan dan ketaatan kepada negara  merupakan tunjang kepada keamanan, kekuasaan dan kemajuan sesebuah negara .
5.0 KESIMPULAN
 Secara keseluruhanya  kedatangan Jepun telah meningalkan kesan  positif dan  negatif   dari aspek ekonomi, politik, budaya ,dan social. . Dalam hal ini, tidak boleh menolak sama sekali bahawa terdapat kesan-kesan lain yang wujud akibat daripada pendudukan Jepun ini. Secara langsung atau tidak langsung, pendudukan Jepun telah menyemarakkan semangat nasionalisme di Asia Tenggara .. Pemimpin tempatan telah disuntik dengan semangat keyakinana untuk berkerajaan sendiri dan pemuda tempatan telah didedahkan dengan latihan ketenteraan untuk mempertahankan negara masing-masing.  Disini jelaslah menunjukkan penjajahan bukanlah sesuatu yang menakutkan tetapi  dengan penjajahan juga yang mengajar kita erti perpaduan,  dan kemerdekaan. Namun, akibat daripada peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Indonesia mencapai kemerdekaan pada bulan Disember 1949. Sukarno telah dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia.

6.0 BIBLIOGRAFI
Abu Talib Ahmad, 2005.Sejarah Jepun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ariffin Omar.1999. Revolusi Indonesia Dan Bangsa Melayu:Runtuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur   Pada Tahun 1946.Pulau Pinang:Universiti Sains Malaysia.

Bernhard Dahm.1988. Sejarah Indonesia  Abad Kedua Puluh.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa             dan Pustaka.

D. G. E. Hall, 1987. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Li Narangoa and Robert Cribb, 2003. Imperial Japan and National Identities In Asia, 1895-1945.Landon and New York: Routledge Curzon Taylor & Francis Group.

Maswari Rosdi ,1983.Sejarah China dan Jepun 1800-1955. Kuala Lumpur: Adabi Publishing Sdn. Bhd.

Mavis Rose.Indonesia Merdeka Biografi Politok Muhammad Hatta, Jakarta: PT Gramedia   Pustaka Utama.


Nazarudin Zainun, 1998. Revolusi dan Rakyat : Kesan Sosioekonomi di Jawa Tengah 1947-1949, Pulau Pinang  :Universiti Sains Malaysia.






Thursday 3 March 2011

BINCANGKAN KONFLIK YANG WUJUD DALAM KALANGAN REMAJA DISEKOLAH. BERIKAN CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH KONFLIK TERSEBUT BERDASARKAN TEORI PENDIDIKAN.

1.0 Pengenalan
Sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar  merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira samada di sekolah bandar atau luar bandar maupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita. Menurut  pandangan beberapa ahli psikologi, individu mengalami usia remaja ketika berumur 12 tahun dan berakhir pada umur 21 tahun. Crain (1996) menyatakan tempoh remaja melibatkan pelbagai perubahan terutama  dalam aspek fizikal, emosi ,sosial dan pemikiran. Peringkat awal remaja bermula semasa umur 12 hingga 15 tahun, manakala peringkat akhir remaja pula bermula kira-kira umur 16 tahun hingga 21 tahun. Remaja adalah masa yang penuh dengan permasalahan menurut Bapa Psikologi Remaja iaitu Satanley (2003) mengelaskan  remaja dalam kumpulan  storm and stress’ iaitu masa bergelora yang paling tinggi berbanding dengan peringkat-peringkat perkembangan lain. Menurut Sternbeg (1987), beberapa sikap yang baharu berkembang dan berbentuk ialah sikap ingin tahu, mencari kelainan, hubungan seksual, memasuki kumpulan dan kebebasan .Pemasalahan yang  sering kali wujud dalam kalangan remaja disekolah  disebabkan cabaran yang harus dihadapi remaja seperti perubahan-perubahan fizikal, emosi dan sosial .  Pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengatasi masalah konflik tersebut dengan adanya tanggungjawab dan kerjasama antara remaja, guru, dan ibu bapa serta masyarakat sekeliling.
Dari sudut remaja,menurut Ausubel,(1960) antara kemahiran yang terbentuk pada peringkat remaja adalah memproses maklumat, berkawan dan bersosial serta menyelesaikan masalah. Masalah akan timbul dalam diri remaja apabila mereka keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri, sering merasa diri disalahfahamkan dan dipersalahkan, merasa diri dilayan secara tidak adil , kesunyian, sukar memahami emosi dan  susah membuat keputusan,  tambahan pula remaja sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka. Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, rakan , keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Pemasalahan inilah menyebabkan lahirnya pesonaliti negatif dalam diri mereka.

         2.0  Konflik dan Cara Mengatasi Masalah Remaja Di Sekolah
Konflik yang dihadapi oleh remaja itu merupakan sebahagian daripada pengalaman yang akan membentuk identiti remaja tersebut. Pelbagai konflik yang timbul dalam diri remaja seperti konflik remaja dengan ibu bapa, kasih saying, kebebasan,  tanggungjawab, rakan sebaya, serta emosi dan tingkah laku .

         2.1 Konflik Remaja dengan Ibu Bapa
Konflik antara remaja dengan ibu bapa sering berlaku apabila luahan perasaan daripada remaja  kepada ibu bapa bercanggah dari segi nilai ,sikap dan tingkah laku. Suasana ini wujud disebabkan ada jurang generasi di antara kedua-dua pihak yang mana si ibu bapa tidak menerima pandangan anak mereka ini kerana mereka dulu merasai asam garam dalam kehidupan  manakala si anak  berpendapat ibu bapa terlalu mengongkong dan tidak memahami kehendak mereka. Kebanyakan ibu bapa hari ini berpendapat pencapaian atau taraf pendidikan merupakan satu faktor penentu yang akan menjamin sosioekonomi anak-anak mereka .Hal ini mendorong sesetengah ibu bapa menetapkan matlamat yang terlalu tinggi dan menuntut anak mereka menghabiskan masa dengan belajar. Harapan yang tinggi dalam pendidikan akan memberi tekanan yang melampaui kepada remaja. Disekolah remaja akan mengalami perasaan tertekan dalam  proses pembelajaran ini kerana keupayaan seseorang adalah berlainan. Remaja akan meluahkan perasaan tidak puas hati kepada ibu bapa dengan melakukan kesalahan disiplin seperti membuli, gengterisme , meniru dalam peperiksaan, agar ibu bapa dapat memahami perasaan dan kehendak mereka sendiri .
         Cara mengatasi masalah ini haruslah memerlukan kerjasama diantara guru,ibubapa dan remaja itu sendiri. Peranan guru merupakan peranan yang penting dalam membimbing personaliti melalaui pembelajaran di dalam bilik darjah.  Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seperti dalam mata perlajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, remaja dapat mengetahuai cara-cara menjalin hubungan yang lebih rapat dengan  ibu bapa dan bagaimana cara yang betul dalam meluahkan perasaan dan pendapat mereka. Guru juga haruslah bersedia menjalinkan hubungan dengan keluarga remaja untuk berkongsi mengenali tingkah laku remaja tersebut. Kemampuan guru berkomunukasi dengan ibu bapa dapat membantu remaja melauhkan perasaan dan pendapat  mereka dalam memilih kerjaya mereka sendiri agar ibu bapa mengetahuai anak mereka mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang yang lain.
Disamping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.

2.2  Konflik Kasih Sayang
Dikasihi oleh seseorang mampu memberikan kesan berputik kepada seseorang individu. Menurut Lefrancois (1999), kasih sayang membawa kepada kesan positif jika diperteguhkan dan disokong. Namun begitu kasih sayang yang berlebihan boleh membawa kesan sampingan yang negatif. Pada tahap remaja,konflik kasih sayang wujud apabila mereka merasakan bahawa diri mereka terasing,sendiri dan tidak dikasihi. Remaja akan mula mencari altenatif  lain sekiranya mereka tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga.
Antara konflik yang timbul  di sekolah ialah dengan memusnahkan harta benda sekolah, menconteng dinding sekolah, ponteng sekolah dan sebagainya. Remaja yang kurang kasih sayang akan mencari jalan untuk menarik perhatian guru dan rakan-rakan agar mereka lebih mefokuskan kepada mereka. Remaja yang melakukan kesalahan disiplin sekolah mejoritinya hanya untuk mendapatkan perhatian. Oleh yang demikian guru haruslah peka keaadaan pelajar sebelum memulakan proses pembelajaran. Guru juga haruslah bersikap adil dalam menjatuhkan hukuman . Peranan sekolah dalam memupuk kasih sayang seperti mengadakan  program mentor mentee di antara guru dan  pelajar. Tujuan  program ini diadakan membolehkan  guru dapat berkongsi masalah dengan pelajar tersebut serta guru tersebut cuba untuk menyelesaikan masalah mereka.Mengadakan Hari Keluarga juga boleh mengeratkan silaturahim diantara ibubapa dan guru .

         2.3 Konflik Kebebasan
Remaja sering merasakan bahawa diri mereka terkonkong dan pergerakan mereka terbatas. Hal ini kerana maklumat yang mereka peroleh banyak mendedahkan mereka kepada sesutau yang baharu dan menyeronokkan,tetapi mereka tidak dapat  melakukan perkara-perkara tersebut disebabkan oleh kawalan daripada ibu bapa.Oleh itu, peranan sekolah amat penting dalam memandu remaja dalam mencari kebebasan yang betul tanpa dipengaruhi unsur-unsur negatif. Guru juga boleh berkongsi pandangan dengan pelajar dalam mencari kaedah yang sesuai bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mendapat ouput dan input di akhir pembelajaran. Pelajar juga bebas memilih aktiviti  yang diminati dengan memasuki  kelab, persatuan atau badan beruniform. Dengan adanya semua ini,pelajar akan banyak meluangkan masa dan pelajar akan berasa bebas melakukan aktiviti dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

2.4        Konflik Tanggungjawab
Konflik tanggungjawab wujud apabila ibu bapa yang biasanya menguruskan hal ehwal rumah tangga cuba mengawal tingkah laku anak mereka dalam tugasan harian .Bagi remaja ,dominasi keluarga terhadap peranan yang seharusnya dimainkan oleh mereka banyak menimbulkan kecelaruan. Perasaan ini timbul kerana pada tahap ini remaja lebih inginkan kepada kebebasan , sedangkan kelurga memerlukan mereka lebih bertanggungjawab dalam urusan harian. Ada dikalangan remaja terpaksa ponteng ke sekolah untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan keluarga .Mereka beranggapan pelajaran tidak penting yang paling penting adalah menolong ibu bapa mereka. Pemikiran remaja adalah berbentuk  abstrak.Oleh itu, para remaja menggangap apa-apa yang difikirkan dan dilakukan oleh mereka adalah betul. Sikap beginilah para remaja menjadi terbatas dan sempit. Antara konflik tanggungjawab sering berlaku di sekolah seperti tidak menyiapkan tugasan yang diberikan , berhenti atau ponteng untuk menolong ibubapa mencari rezeki dan sebagainya . Cara untuk menyelesaikan masalah konflik tanggungjawab seperti mengadakan Program Jati Diri yang mana program in bertujuan menerangkan tanggungjawab yang harus dipikul oleh remaja agar mereka tidak disalah ertikan maksud tanggungjawab. Guru memainkan peranan yang penting dalam membetulkan pemikiran mereka bahawa pendidikan boleh mengubah masa hadapan . Demikian itu, guru haruslah mengambil tahu hal ehwal kebajikan pelajar agar mereka tidak terasa disisih dan dapat belajar bersama-sama dengan pelajar yang lain.. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
 
2.5 Konflik Rakan Sebaya
Rakan sebaya merupakan orang yang sering mempengaruhi kehidupan para remaja.Sebagaimana yang diketahui, remaja lebih gemar menghabiskan masa lapang mereka bersama rakan-rakan.  Sering kali terjadi pertentangan antara nilai yang dibawa oleh rakan sebaya dengan ibu bapa. Apabila pertentangan ini wujud , hubungan ibu bapa dengan remaja akan semakin renggang. Kebiasaannya remaja lebih akur kepada kelompok rakan sebaya berbanding ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka inginkan pengiktirafan bagi tingkah laku yang dilakukan .Antara masalah disiplin disebabkan pengaruh rakan sebaya adalah seperti merokok, ponteng sekolah, mencuri, mengambil dadah dan pil khayal, menonton video lucah dan sebagainya. Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah konflik ini dengan memperbanyakkan aktiviti yang menyeronokkan seperti mengadakan pertandingan  sukan, mengadakan lawatan , menubuhkan Kelab Ekspedisi bagi remaja yang suka aktiviti mencabar dengan adanya aktiviti seperti ini mereka dapat bergaul dan bersosial dengan rakan sebaya dalam aktiviti yang berfaedah dan tanpa disedari mereka diperhatikan oleh guru. Ibubapa juga memainkan peranan penting iaitu mengetahui siapa rakan anak mereka , latar belakang rakan anak mereka dan mengambil tahu  dan mengawasi segala aktiviti mereka di luar rumah agar mereka tidak membuat perkara yang tidak diingini.

2.6  Konflik emosi dan tingkah laku
Pada tahap ini,emosi individu dikatakan sensitif  berbanding sebelumnya. Emosi mereka juga sering terganggu akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku pada tubuh badan  dan limpahan hormon yang agak ketara. Justeru itu, ibu bapa sering beranggapan tempoh ini sebagai tempoh berbahaya. Remaja pula berpendapat golongan tua sebagai ketat dan mereka sebagai tenang. Perbezaan pendapat ini seterusnya menghasilkan konflik emosi serta tingkah laku bagi remaja.
Sekolah merupakan tapak asas bagi memperkembangkan tingkah laku positif. Oleh itu, guru perlu membuat pelbagai pendekatan semasa mengajar. Strategi menangani masalah emosi dan tingkah laku melibatkan kemahiran emosi, sosial dan perlakuan fizikal. Antara strategi yang dimainkan oleh guru adalah yang pertama ialah guru perlu sensitif  memerhatikan perbezaan emosi remaja. Bagi guru yang peka,mereka dapat meramalkan bentuk emosi seseorang remaja, Kebolehan meramal emosi juga dikenali sebagai kemahiran pengajaran melalui air muka.
 Strategi kedua ialah memberikan peneguhan yang mana dapat dibahagikan kepada dua, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif diberikan kepada perkembangan tingkah laku positif, manakala peneguhan negatif diberikan sebarang tingkah laku yang tidak diingini.
Seterusnnya dengan mengadakan pendekatan aktiviti memupuk tingkah laku positif seperti melibatkan remaja dalam aktiviti kumpulan komperatif yang mana bertujuan mereka dapat berbincang dan mengeluarkan pendapat masing-masing. Memberikan motivasi kepada remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti  dan menyelaraskan program pembangunan dan pengembangan kegiatan pendidikan luar dan pasukan pakaian seragam agar aktiviti ini dapat mengembangkan minda remaja.
      Sebenarnya terdapat beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab tentang masalah disiplin ini termasuklah para pelajar sendiri, para guru, ibubapa, masyarakat serta kerajaan. Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih.    Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna.    Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi. Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa. Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran pula perlu membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan dengan sistem pendidikan dan peraturan sekolah yang sedia ada. Ketika ini sistem sekolah lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah kecemerlangan sahsiah. Ini dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di sekolah sekolah berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari mereka yang terpilih. Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing.


Wednesday 2 March 2011

SEJARAH RAJA LUMU

1.0            PENGENALAN
Raja Lumu ialah  Sultan Selangor yang pertama. Raja Lumu ialah anakanda kepada Daing Chelak iaitu berketurunan  Raja Bugis yang telah datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau untuk menentang Daeng Mateko yang ingin membuat kacau di Kuala Selangor ini[1]. Namun begitu, walaupun  Raja Lumu  berasal daripada keturunan Bugis, Daing Chelak merupakan salah seorang daripada  lima bersaudara yang dikatakan putera dari Bugis yang telah mengembara ke seluruh Alam Melayu. Kesultanan baginda telah diiktiraf  pada pertengahan kurun ke-18. Keadaan ini secara tidak langsung telah membawa kepada kebebasan negeri Selangor daripada kekuasaan Johor-Riau.   

Skop tugasan adalah tertumpu kepada bagaimana  peristiwa perlantikan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor pada tahun 1766 . Bagaimana  proses perlatikan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor pada tahun 1766  boleh dilihat daripada aspek sejarah kedatangan Bugis di Tanah Melayu , rentetan peristiwa penglibatan Bugis di Selangor pada abad ke 17 dan 18, melihat juga asal usul Raja Lumu sebelum menjadi Yam Tuan Muda Selangor dan melihat bagaimana pertabalan Raja Lumu menurut Misa Melayu dan siapa yang mengiktiraf Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama seta  mengapakah  Raja Lumu memilih  Sultan sesebuah negeri tersebut.Dengan melihat beberapa aspek ini ,maka proses pertabalan Raja Lumu menjadi Yam Tuan Selangor ditabalkan pada tahun 1766.


2.0       SEJARAH BUGIS
Penghijrahan Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula sekitar tahun 1667 Masihi apabila Makasar, Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Namun begitu, penglibatan Bugis secara aktif di Tanah Melayu dapat dilihat pada akhir abad ke-17 sehingga abad ke-18 iaitu apabila kelima-lima putera Bugis yang bernama Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi telah mengembara ke seluruh Alam Melayu. Opu Bugis Lima Bersaudara ini merupakan putera kepada Raja Bugis yang bernama Opu Tandari Borang Daeng Rilaka iaitu putera kepada LaMaddusalat, yang memerintah Luwuk Indonesia pada ketika itu.[2] Namun begitu, suku bangsa Bugis yang berperanan dalam campurtangan politik Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-18 ini adalah dikatakan berasal daripada gabungan suku bangsa toUgi dan toMengkasara iaitu Bugis-Makasar.

Penglibatan Bugis di Tanah Melayu terutamanya Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah dikatakan telah berjaya merombak tradisi diraja melayu yang sebelum itu dikatakan mempuyai titisan darah dari Palembang, khususnya Bukit Siguntang Mahameru.[3]. Penglibatan mereka di Tanah Melayu  dikaitkan dengan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan –kalangan pewaris takhta. Oleh yang demikian ,kedatangan orang bugis di Tanah Melayu  amat dirasai oleh semua pihak seperti raja-raja melayu  dah  pihak penjajah  barat terutamanya Belanda. Kesan kedatangan orang bugis telah mengambil kesempatan perterlingkahan  daripada pihak tertentu bagi memperluaskan pengaruh  dalam organisasi kepimpinan kerajaan Melayu sekaligus menjadi tulang belakang dalam pentadbiran kerajaan.

3.0       PENGLIBATAN BUGIS DI SELANGOR PADA ABAD KE-17 DAN 18
Pada kurun masihi yang ke-17, orang-orang bugis dari Tanah Bugis (Sulawesi), didapati sudah lama telah bermaustatin di negeri Selangor . Pada bulan  Januari tahun 1682 adik Sultan Kedah meminta kebenaran Belanda untuk meminta bantuan orang-orang bugis  untuk melawan abangnya Sultan Kedah dan ia telah menyatakan dua buah kapal dan tiga atau empat ratus orang Bugis membantunya . Dalam keterangan tersebut nyatalah menunjukkan pada kurun yang ke-17 orang Bugis telah ramai mendiami negeri Selangor.

Pada awal kurun masihi yang ke -18, lima bersaudara dengan angkat mereka telah pergi mengembara ke merata tempat, dan telah sampai ke perairan Kerajaan Johor-Riau. Lima bersaudar ini ialah Daing Perani,Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi .Kesemuanya adalah putera Raja Bugis yang bernama Daing Rilaka[4].

Pada tahun 1728, Daing Merewah Keana Jaya Putera  memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Johor I dari Riau telah datang  ke Selangor bersama orang Bugis pergi membantu adik Sultan Perak iaitu Raja Inu  di Bernam untuk menyerang abangnya Sultan Perak iaitu Sultan Alauddin Mughayat Shah pada masa itu Sultan Perak ke-12. Kemudianya ,Daing Marewah balik semula ke Selangor dan terus pulang ke Riau. Daing Meraweh telah mangkat di Riau dan digantikan oleh adiknya Daing Chelak sebagai Yamtuan Muda Riau II.

Pada tahun 1740, Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daing Matekkko yang dikatakan membuat kekacauan di Selangor.[5] Akhirnya Daing Matekko mengalami kekalahan dan lari ke Siak dan sejak itu keraplah Daing Chelak  berulang-alik dari Riau ke Selangor. . Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau.
Pada tahun 1742,  Daing Chleak datang ke Selangor dan membawa orang-orang Bugis dari Selangor pergi menyerang negeri Perak yang masa itu di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pada masa itu, Yang Dipertuan Muda berselisih faham dengan abangnya Sultan Perak . Orang-orang besar Perak menyebelahi Yang Dipertuan Muda manakala orang-orang Bugis datang dan lalu  mengangkat Yang Dipertuan Muda sebagai Sultan dan bergelar Sultan Muhammad Shah. Bermulalah Kesultanan Perak berpecah kepada dua pemerintah ,Sultan Muzaffar Shah memerintah bahagian utara manakala Sultan Muhammad Shah memerintah di bahagian selatan.

Daing Chelak menetap di Perak agak lama dan akhirnya beliau pun  kembali ke Selangor dan pulang ke Riau setelah dijemput oleh anak-anak raja dari Riau. Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Selangor.

Pada tahun 1745, Daing Chelak mangkat di Riau dan meninggalkan dua orang putera dan seorang puteri iaitu Raja Haji di Riau dan Raja Lumu di Selangor. Daing Kemboja telah diangkat oleh orang Bugis di Selangor menjadi Yamtuan Muda Riau III memandangkan Raja Lumu pada masa itu terlalu muda dan belum dewasa. Pada tahun 1756, Raja Lumu dihantar ke Selangor sebagai pemerintahan Selangor sebagai wakil kerajaan Johor dan pada tahun 1766, Raja Lumu diiktiraf oleh Sultan Perak sebagai Sultan Selangor yang pertama.

4.0       ASAL USUL RAJA LUMU
Rajah Menunjukkan Salasilah dari Tuhfat Al-Nafis oleh Al-Marhum Raja Ali Al-Haji Riau, 1932
(Sumber dipetik: Buyong Adil. Sejarah Selangor, hlm.187)[6]

Sebelum kita mengetahui bagaimana  peristiwa pertabalan Raja Lumu diangkat sebagai Sultan Selangor yang pertama, maka terlebih dahulu  marilah kita mengetahui salasilah Raja Lumu . Raja Lumu atau lebih dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah merupakan anakanda Daing Chelak iaitu Yamtuan Muda Johor II yang berdarah Bugis.

Pada tahun 1740 di mana, Daing Chelak bersama-sama angkatan tentera dari Riau datang ke Selangor dan berperang dengan angkatan Daing Matekkko yang dikatakan membuat kekacauan di Selangor.[7] Akhirnya Daing Matekko mengalami kekalahan dan lari ke Siak . Daeng Chellak telah menjadi pemimpin di Selangor khusunya Kuala Selangor setelah didesak oleh masyarakat Kuala Selangor supaya Daeng Chellak menjadi ketua dan pemimpin di kawasan itu. Walaupun Daeng Chellak telah menjadi ketua di Selangor namun  Daing Chelak  berulang-alik dari Riau ke Selangor. Akibat daripada ulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor, Daeng Chellak telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Daeng Masik Arang Pala dari Riau iaitu ibu kepada Raja Lumu. Perkahwinan antara Daeng Chellak dengan Daeng Masik Arang Pala telah dikurniakan tiga orang cahaya mata termasukklah Raja Lumu yang merupakan anak sulung daripada hasil perkahwinan tersebut.

Raja Lumu hanya mempunyai tiga orang adik beradik iaitu seorang adik lelaki dan adik perempuan. Adik lelakinya bernama Raja Ali yang merupakan seorang tokoh dan pahlawan Bugis yang terkenal. Manakala adik perempuannya bernama Raja (Daeng) Hafsah yang telah berkahwin dengan Daeng Lakani.

 Pada 19 Mei 1745, Daing Chelak telah mangkat di Riau. Kemangkatan Daing Chelak telah meninggalkan beberapa orang putera dan puteri  antaranya Raja Haji dan Raja Lumu. Raja Haji ditempatkan di Riau manakala Raja Lumu dihantar ke Selangor.[8]Kemangkatan Daing Chelak telah meninggalkan kekosongan jawatan Yamtuan Muda Johor-Riau. Anak Daing Chelak, Raja Lumu masih kecil lagi sehingga ada yang mengatakan Raja Lumu ketika itu masih belum remaja lagi  Disebabkan oleh faktor tersebut, jawatan Yang Dipertuan Muda Johor-Riau telah diisi oleh Daing Kemboja yang juga merupakan sepupu kepada Raja Lumu. Daing Kemboja merupakan anak kepada Daing Parani dan semasa Daing Kemboja di Selangor, ia telah diangkat oleh orang-orang Bugis di  Selangor. Pada tahun 1748, Sultan Sulaiman Badrul Shah mengangkat Daing Kemboja menjadi Yamtuan Muda Riau (III).

5.0       PROSES PERTABALAN RAJA  LUMU
Menurut Misa Melayu menyatakan Raja Selangor datang ke  negeri Perak dengan kehendak diri sendirina. Setelah selesai Sultan Mahmud Syah bermesyuarat bersama pembesarnya, maka barulah Raja Lumu  dibenarkan masuk ke dalam negeri Perak.[9] Hal ini menunjukkan bahawa Raja Lumu bukannya dijemput oleh Sultan Perak tetapi datang dengan kehendak sendiri. Sumber Misa Melayu turut mengambarkan Raja Lumu datang  ke Perak untuk menghambakan diri kepada Sultan Mahmud Syah.

 “ Maka pada fikiran kita sekarang ia sudah datang ke negeri kita berhambakan dirinya kepada kita maka sekarang ini baiklah kita beri nobat sekali. ”[10]

Para pembesar Sultan Mahmud menyetujui cadangan tersebut kerana hal ini dapat menunjukkan kebesaran serta meningkatkan lagi kemasyuran Sultan dan negeri Perak Sebelum hari pertabalan segala persiapan pertabalan dibuat seperti membuat  gendang nobat dengan selengkapnya untuk dihadiahi oleh Raja Lumu pada hari pertabalan. Raja Lumu di tabalkan di Kota Lumut Perak dengan adat yang sepatutnya dan dihadiahkan nobat serta dianugerahkan cap mohor. Raja Lumu kemudiannya diberi gelaran sebagai Sultan Salehuddin.

Setelah dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama, setelah lama berada di Perak baginda bermohon pulang ke Selangor. Sultan Perak mengarahkan  seorang menteri  dan anak raja   yang bernama Raja Alang untuk mengiringi Sultan Salehuddin pulang semula ke Selangor.[11] Selepas itu, majlis seterusnya di lakukan pula di Selangor.

 Peristiwa yang dicatatkan dalam Misa Melayu ini jelas untuk menunjukkan kedaulatan dan kebesaran Sultan Perak sehinggakan Raja Lumu yang berketurunan Bugis sanggup datang menghadap Sultan Mahmud dan menghambakan diri. Misa Melayu ini juga menonjolkan bahawa Sultan Mahmud Syah seorang boleh menerima pendapat orang bawahan , dermawan dan murah hati sehingga memberi anugerah kepada Raja Lumu.



6.0       FAKTOR RAJA LUMU MEMINTA PENGIKTIRAFAN DARI SULTAN PERAK
Pada tahun 1766 Masihi Raja Lumu yang telah dewasa telah bersiap sedia untuk membebaskan Selangor dari cengkaman Johor Riau, hal ini disebabkan oleh peluang Raja Lumu untuk menjawat Yamtuan muda Riau masih lama, dan Raja Haji menjadi yang dipertuan Riau pada waktu itu. Raja Lumu bercita-cita untuk membebaskan Selangor dari Johor Riau. Untuk itu Raja Lumu berusaha mendapatkan pengiktirafan dari Sultan Perak iaitu Sultan Mahmud. Antara faktor penyebab negeri Perak menjadi pilihan Raja Lumu ialah mengukuhkan kedudukan, keturunan zuriat sultan melaka, ketiadaan alat-alat kebesaran diraja ,faktor pentadbiran di Johor, asal usul Raja Lumu dan faktor kedaulatan.

6.1 Mengukuhkan Kedudukan
Antara sebab mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan daripada Sultan Perak adalah kerana ingin mengukuhkan kedudukan baginda serta anak cucu baginda  sebagai raja pemerintahan yang sebenarnya di Selangor dan  bukan lagi tunduk bawah kekuasaan Kerajaan Johor-Riau.[12]Dengan adanya pengiktirafan daripada Sultan Perak maka kedudukan Raja Lumu semakin kukuh dalam pemerintahan Selangor.

6.2       Keturunan Zuriat Sultan Melaka.
Antara sebab  kedua mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan daripada Sultan Perak ialah kerana pengasas dinastinya adalah keturunan langsung zuriat Sultan Melaka.[13] Raja yang pertama bagi kerajaan Perak ialah Sultan Muzaffar Syah merupakan anakanda kepada Sultan Mahmud Syah, iaitu Sultan Melaka yang terakhir. Maka di sini bermulalah satu sistem pemerintah agung yang mewarisi Kesultanan Melayu Melaka. Oleh sebab itu Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak kerana pengiktirafan daripada waris Kesultanan Melayu Melaka adalah penting untuk menjamin kedudukannya dan mendapat kepercayaan daripada masyarakat.  Masyarakat Melayu mempercayai bahawa keturunan raja-raja Palembang mempunyai kesaktian yang luar biasa. Di sini jelaslah bahawa sememangnya wajar Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak untuk melantiknya sebagai Raja Selangor kerana pemerintah Perak adalah berasal dari darah daging Sultan Melaka.

6.3       Ketiadaan Alat-alat Kebesaran
Negeri Selangor tidak mempunyai alat-alat kebesaran dan traadisi pertabalan seperti gelaran yang khususdan cop mohor untukmenjadikan Negeri mereka betul-betul wujud.. Pertabalan seseorang raja tidak lengkap tanpa sebarang alat kebesaran seperti Nobat atau Nafiri.Kekurangan ini menyebabkan Raja Lumu yang tiada alat Muzik atau Nobat telah mendorong baginda memohon pengiktirafan daripada Sultan Perak untuk melantiknya sebagai Sultan Selangor yang pertama .Menurut Adat Istiadat Negeri Perak tidak ada Sultan yang dianggap berdaulat sehingga ianya ditabalkan dengan bunyian Nobat.Sesebuah kerajaan akan diperakui kewujudannya  apabila rajanya dapat menunjukkan alat kebesaran kerajaan yang bermakna dan dikatakan alat-alat ini penting bagi menunjukkan kekuasaanya.[14] Memandangkan permasalahan tersebut Raja Lumu mengambil tindakan tang sewajarnya iaitu dengan mendapatkan pengiktirafan daripada Sultan Perak kerana Baginda mempunyai segala peralatan yang menjadi warisan Kesultanan Perak.

Menurut Vincent Tung ( 1999 ), Raja Lumu telah beristerikan Puteri Diraja Perak lalu dinobatkan dan digelar oleh Sultan Mahmud Syah, Sultan Perak yang ke-16 ( 1756-1773) dengan Sultan Sallehuddin Syah. Sultan Sallehuddin kemudiaannya ditabalkan pula dihadapan rakyat Selangor dengan membunyikan Nobat dari Negeri Perak.[15] Dengan ini jelaslah bahawa ketiadaan Nobat telah mendorong Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak untuk melantiknya sebagai Raja Selangor yang pertama.

6.4       Faktor Pentadbiran di Johor
Disamping itu juga, sebab yang lain pula ialah Raja Lumu ingin mendapatkan pembebasan Selangor daripada pengaruh Kerajaan Johor. Seperti sedia maklum, Selangor adalah di bawah takluk Kerajaan Johor. Sememangnya keinginan Selangor untuk menjadi sebuah kerajaan yang bebas daripada pengaruh Johor telah lama wujud iaitu sejak kedatangan Daing Chelak ke Selangor lagi. Selain daripada itu, Raja Lumu menyedari bahawa masih terlalu lama lagi gilirannya untuk menjadi Yamtuan Muda Johor kerana pada masa tersebut jawatan itu disandang oleh Daing Kemboja. Keinginanya bertambah kuat lagi apabila penguasaan Johor terhadap Selangor semakin berkurangan selepas kemangkatan Sultan Sulaiman kerana pada masa tersebut, pentadbiran Kerajaan Johor diuruskan pemangku sultan iaitu Daing Kemboja dan beliau lebih berjaya mengawal Linggi berbanding Selangor.[16] Melihatkan kepada keadaan tersebut, sememangnya peluang untuk membebaskan Selangor dari Johor sangat besar.

Namun demikian, peluang tersebut hanya akan tinggal mimpi sahaja sekiranya baginda  memohon pengiktirafan daripada Sultan Johor. Ini adalah kerana baginda Sultan Johor sudah semestinya tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya atau dengan lebih mudah lagi tidak akan memberi pengiktirafan tersebut. Tambahan pula pada masa Sultan Mahmud Shah III masih terlalu muda, baru berumur labih kurang sepuluh tahun[17], dan sudah tentu Kerajaan Johor diurus oleh pemangku Sultan Johor iaitu Daing Kemboja. . Dalam Sejarah Johor, ada menyebut bahawa baginda telah dilantik menjadi sultan Johor dan pada ketika baginda berusia setahun.[18] Mengikut daripada kekananan pemerintah, Sultan Perak dilihat lebih berwibawa daripada Sultan Johor dan salah satu sebabnya adalah kerana faktor usia. Memandangkan usia baginda Sultan Johor yang masih mentah itu, baginda tidak boleh membuat sebarang tindakan serta keputusan terutamanya berkaitan pertabalan Sultan Selangor kerana pemikiran baginda masih kanak-kanak serta tidak mampu membuat keputusan yang tepat. Oleh yang demikian, pemilihan Sultan Perak adalah satu pilihan yang tepat.

6.5       Asal usul Raja Lumu
Raja Lumu menyedari bahawa baginda bukan penduduk tempatan atau anak jati Negeri Selangor sebaliknya penduduk luar atau asing yang berasal dari Sulawesi Selatan. Hal ini kerana beliau merupakan keturunan Bugis yang datang ke Selangor sebagai pendatang. Raja Lumu merupakan anak kepada Daeng Chelak iaitu Yamtuan Muda Riau II dan adik kepada Raja Haji.[19] Oleh sebab itu baginda telah memohon pengiktirafan daripada Sultan  Perak untuk menabalkannya menjadi Sultan Selangor yang pertama kerana baginda tahu sekiranya tidak berbuat demikian rakyat Selangor tidak akan mengiktirafnya sebagai sebagai sultan dan ini boleh dikaitkan dengan konsep yang daulat.

6.6       Faktor Kedaulatan
Hal ini kerana Raja yang tidak berdaulat tidak layak di sembah dan di hormati. Konsep daulat berbentuk satu sifat kekuasaan atau hak tertinggi yang di khaskan kepada golongan diraja sahaja. Sultan yang ditabalkan mempunyai daulat dan kewibawaan serta sebagai lambang perpaduan dan tunggak kemakmuran negeri. Rakyat wajib mentaati Sultan kerana baginda mempunyai kekuasaan yang istimewa.

Dengan ini dapat disimpulkan secara kecil bahawa konsep daulat memainkan peranan penting dalam pemerintahan seseorang Raja dan tanpa daulat Raja tersebut tidak mempunyai kuasa untuk memerintah dan Raja Lumu tidak mempunyai daulat. Oleh itu berdasarkan kepada konsep ini jelas terpapar sebab utama mengapa Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Sultan  Perak untuk menabalkamnya menjadi Sultan Selangor yang pertama.

7.0       KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, pertabalan Raja Lumu sebagai Yam Tuan Muda Selangor telah mewujudkan satu intitusi kesultanan yang berketurunan Bugis  di Selangor.  Jelaslah di sini bahawa Raja Lumu merupakan seorang yang tabah semasa memohon  pengintirafan daripada Sultan Perak untuk menjadi pemerintah yang bebas, meskipun memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan  kebenaran Sultan Perak untuk masuk ke negeri Perak.

Selain itu,  dapat dilihat bahawa Raja Lumu merupakan seorang yang berpandangan jauh dalam mengukuhkan kekuasaan keturunannya dalam pemerintahan di Selangor. Hasil daripada pertabalan itu Raja Lumu, Selangor bebas dari kekuasaan Johor-Riau yang setelah bertahun dijajah oleh pemerintahan negeri lain sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi iaitu kurun ke 15.

Setelah Melihat kepada sebab-sebab mengapa Raja Lumu meminta pengiktirafan Sultan perak, ternyata amat wajarlah pertabalan ini dibuat untuk membebaskan Selangor daripada kekuasaan Johor-Riau dan sekaligus mengangkat Raja Lumu sebagai Yam Tuan Muda Selangor.